Header Ads

Harga Dan Spesifikasi Isuzu D-MAX V-CROSS SAFARI

Isuzu D-MAX V-CROSS SAFARI
Harga Dan Spesifikasi Isuzu D-MAX V-CROSS SAFARI | Alaf baru ini, kenderaan kategori trak pikap bukan saja boleh dipandu dalam laluan lasak, tetapi juga bersesuai­an digunakan di kawasan urban sebagai pengangkutan harian, termasuk berulang-alik ke pejabat.
Ternyata kenderaan ‘dua alam’ itu memberi pakej lengkap bagi memenuhi aktiviti seseorang yang gemarkan pemanduan lasak, selain mahu pengendalian berbeza berbanding jentera kategori popular negara ini iaitu kereta sedan.
Bagi pasaran tempatan, trak pikap dikuasai keluaran Jepun kerana ketahanan dan harga sa­ngat kompetitif berbanding jenama lain.

Namun, keluaran paling terbaru adalah model Isuzu D-Max V-Cross 3.0 L selepas ia dilancarkan pada Jun lalu.
Harga Dan Spesifikasi Isuzu D-MAX V-CROSS SAFARI
RUANG kokpit yang kemas.

Ia berbeza dengan varian D-Max 2.5 L yang dipasang tempatan di kilang Isuzu di Pekan, Pahang kerana model V-Cross ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.
Jika dilihat secara kasar, ia kelihatan sama dengan generasi kedua Isuzu D-Max 2.5 liter tetapi ia menggunakan rangkaian kuasa lebih mantap selepas menggunakan enjin 3.0 liter turbo.

Perbezaan kuasa itu dinilai oleh penulis ketika diberi peluang memandunya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang melalui lebuh raya dan jalan persekutuan, baru-baru ini.

Sesi pandu uji itu mungkin membosankan bagi mereka yang gemarkan pemanduan lasak, namun penulis teruja kerana mampu me­nguji kehebatan jentera ini di lebuh raya.

Yang menggembirakan, jentera ini dibekalkan prestasi lebih mantap dan berkuasa selepas menyalurkan 177 PS dengan tork setinggi 380 Nm.

Rahsianya adalah penggunaan pengecas turbo Sistem Variable Geometry (VGS). Kipas turbo yang boleh dilaraskan dalam turbin dibuka dan ditutup berdasarkan kelajuan enjin untuk mengoptimumkan aliran petrol.

Ini membolehkan turbin berputar sehingga kelajuan dengan lebih cepat pada rpm rendah dan memberi pecutan lebih baik serta menawarkan penjimatan bahan api.

Bagi penghantaran kuasa yang lancar, D-MAX V-Cross ditawarkan dengan dua pilihan transmisi 5-kelajuan automatik dan manual.

Bagi penulis, ketika mengikuti pandu uji ke Pulau Pinang dengan menggunakan lebuh raya dan jalan persekutuan, ia menawarkan kelancaran tanpa menghasilkan bunyi kurang menyenangkan daripada enjin diesel.

Sebaik menekan pedal mi­nyak, kuasa dibekalkan tidak ‘kedekut’ biarpun beratnya mencecah sehing­ga 2,600 kilogram.

Malah, memandu di lebuh raya, tanpa sedar kelajuan mampu mencapai 160 kilometer sejam (km/j) dan ia masih boleh menambah kelajuannya.

Ketika memandu kelajuan ting­gi di selekoh, rasa olengan badannya adalah minimum dan ia berpunca daripada pusat graviti kenderaan yang lebih rendah. Sterengnya juga rasa kurang berat, selain gaya pemanduannya mudah dan stabil.

Bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan, V-Cross ditawarkan dalam tiga varian iaitu V-Cross 3.0 L manual dan automatik lima kelajuan serta versi lebih mewah iaitu Edisi Safari.

Edisi Safari dibezakan menerusi kit badan dan beberapa aksesori khas dan didatangkan dengan transmisi automatik saja.

Ia dilengkapi jeriji, bampar dan pemijak kaki berwarna kelabu serta didatangkan rim aloi kelabu bersaiz 17 inci, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya.

Model itu juga dipasang penutup ruang kargo belakang atau ‘V-Lid’ sebagai satu ciri standard, yang mana ia boleh dikunci untuk me­nyimpan barangan dengan selamat.

Ruang kabinnya pula disalurkan dengan suasana premium apabila tempat duduk dibalut kulit serta dikemaskan sulaman perkataan V-Cross Safari berwarna putih dan oren.

Bahagian konsol tengahnya pula terpampang skrin bersaiz 6.2 inci dengan kemampuan multimedia, sistem navigasi dan menjadi paparan kamera mengundur.

Bagaimanapun, varian Safari lebih mahal RM11,000 berbanding V-Cross menggunakan transmisi automatik.

Penulis sangat yakin dengan sistem keselamatan aktif dan pasif yang ada padanya. Mana tidaknya, trak pikap ini dilengkapi ABS de­ngan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Tarikan, Kawala Kestabilan Elektronik dan dua beg udara sehing­ga ia dinobatkan penarafan lima bintang dalam ujian pelanggan ANCAP.

Ternyata jentera ini menawarkan penambah baik lebih segar bagi memenuhi keperluan pengguna pikap trak yang mahukan kuasa tambahan tanpa mengorbankan ketahanan.

SPESIFIKASI ISUZU D-MAX V-CROSS SAFARI:

ENJIN: 2,999 cc. empat silinder sebaris, VGS Turbo Intercooler
KUASA MAKSIMUM: 177 PS pada 3,600 rpm
TORK MAKSIMUM: 380 Nm antara 1,800 hingga 2,800 rpm
TRANSMISI: Lima kelajuan automatik
KAPASITI DIESEL: 76 liter
BERAT BERSIH: 2,600 kilogram
SISTEM KESELAMATAN: ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Tarikan, Kawalan Kestabilan Elektronik dan dua beg udara
HARGA: RM118,485.90 atas jalan, termasuk insurans (Semenanjung Malaysia)
myMetro

No comments