Header Ads

Proton Vs Perodua Mana Yang Lebih Hebat?

Proton Vs Perodua Mana Yang Lebih Hebat?Proton Vs Perodua Mana Yang Lebih Hebat?Industri automotif jenama tempatan tidak kurang hebatnya apabila kedua-dua mereka mula menunjukkan taring masing-masing dalam melancarkan produk terbaru menerusi model terbaru Proton Iriz dan Perodua Axia pada September lalu. Ada yang memberi tanggapan berbeza mengapa kedua-dua model dilancarkan dalam tempoh terdekat dan boleh dikatakan menjejaskan penjualan antara satu sama lain. Namun gambaran itu kurang tepat kerana kedua-dua pengeluar kereta nasional itu menawarkan kenderaan dalam segmen berbeza biarpun ia dalam kategori kompak. Jika mahu membuat pembandingan, Proton Iriz sebenarnya bersaing dengan model hatchback popular seperti Perodua Myvi, Ford Fiesta, Honda Jazz, Suzuki Swift dan Kia Rio.

Buat Perodua Axia pula, mungkin terlalu sukar untuk membuat pembandingan kerana ia mempunyai identiti tersendiri berhubung kapasiti enjin, saiz serta harga yang ditawarkan terlalu berpatutan. PROTON IRIZ Ia dilihat sebagai model penting untuk memberi perubahan kepada Proton untuk mengembalikan zaman kegemilangan pengeluar automotif nasional seperti sebelum ini. 

Kenderaan dibangunkan oleh anak tempatan itu dilimpahi sistem keselamatan terbaik pada peringkat global, selain memiliki penampilan menarik yang boleh diguna pakai dalam tempoh lama. Jika dibandingkan dengan model Proton terdahulu, reka bentuk dalaman dan luaran Iriz mengalami revolusi sangat membanggakan. Mungkin ada yang tidak peka atau mengambil sambil lewa dengan kehebatan Iriz. 

Apa tidaknya, kenderaan buatan Malaysia itu menerima penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP yang dijadikan sebagai ciri standard untuk semua variannya. Sebagai contoh, ia didatangkan sistem Kawalan Dinamik Kenderaan yang lengkap, merangkumi ciri Sistem Antikunci Brek dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elekrtik (ESC), Kawalan Cengkaman (TC) serta sistem beg udara SRS bagi varian Premium. Bagi memenuhi kehendak pengguna, Iriz ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan pilihan enjin 1.3 liter serta 1.6 liter. Varian itu kemudian digabungkan lagi menerusi pilihan transmisi manual lima kelajuan dan automatik CVT. Enjin bersesaran 1.3 liter dengan sistem VVT itu menghasilkan kuasa maksimum 70 kW pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm. 

Sementara enjin empat silinder sebaris berkapasiti 1.6 pula boleh menjana 80 kW pada 5,750 dan tork puncak 150Nm pada 4,000 rpm. Harga jualannya bermula daripada RM42,438 hingga RM62,888. PERODUA AXIA Varian kompak itu menjadikan model ke-10 kenderaan jenama Perodua, selain dinobatkan sebagai kereta cekap tenaga (EEV) pertama di negara ini. Sejak ditubuhkan pada 1993, Perodua sememangnya menawarkan kenderaan yang mampu milik buat rakyat Malaysia dan tanggungjawabnya masih diteruskan selepas memperkenalkan Axia. 

Model terbaru itu didatangkan dalam enam varian iaitu Standard E, Standard G, SE dan Advance (AT). Semua varian itu boleh dibezakan menerusi melalui penampilan luarannya apabila SE dan Advance dilengkapi gabungan bampar depan, jeriji lebar, lampu isyarat membelok pada perumah cermin sisi, kit tepi sisi, lampu belakang LED, lampu depan projektor serta rim aloi lima jejari. Ruang kabinnya pula boleh dibandingkan dengan sistem audio, material yang membalut tempat duduk, 'tint' keselamatan pada tingkap dan pengesan mengundur. 

Tempat duduknya boleh dilipat beberapa konfigurasi mengikut keperluan serta memiliki ruang kargo yang boleh menempatkan empat buat beg bersaiz kabin tanpa masalah. Namun, semua varian itu menggunakan nadi sama iaitu enjin aluminium membabitkan 1KR-DE DOHC, 12 injap dengan sistem pancitan bahan api (EFI). Selain itu, ia digabungkan transmisi automatik empat kelajuan dan kotak gear manual dengan lima kelajuan. Rangkaian kuasa itu membolehkan Axia mencatat penggunaan bahan api sekitar 21.6 kilometer bagi seliter petrol (km/l) untuk manual, manakala 20.1 km/l bagi automatik. 

Menyentuh aspek keselamatan pula, Axia menerima penarafan empat bintang daripada ASEAN NCAP dengan dilengkapi dua beg udara pada semua varian dan ia berbaloi selepas harga ditawarkan antara RM24,900 dan RM45,300. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2806#sthash.L95XVGzd.dpuf

No comments